Mosa Botani

Laman Utama | Spesis Pokok Buluh | Teknik Pembiakan Buluh | Hubungi Saya

Spesis Pokok Buluh Di Malaysia

 Buluh tergulung di dalam keluarga Gramineae, iaitu sekeluarga dengan jenis rumput termasuklah rumput-rampai, padi, jagung, tebu dan gandum. Lebih tepat lagi buluh berada di bawah sub-keluarga Bambusoideae. Manakala sub-keluarga ini mengandungi genus-genus seperti Bambusa, Dendrocalamus, Dinochloa, Gigantochloa, Schizostachyum dan lain-lain lagi.
 
 Di Semenanjung Malaysia terdapat 7 genera buluh dan mengandungi sebanyak 44 jenis semuanya (Holttum 1958). Buluh yang dikenali sebagai kumpulan rumput gergasi serta berbatang keras pada dasarnya mempunyai dua (2) tabiat pertumbuhan iaitu berumpun dan jenis tunggal (dominan). Genera yang lazim terdapat adalah Bambusa, Chusquea (ditanam), Dendrocalamus, Dinocloa, Gigantochloa, Phyllostachys (ditanam), Racemobambos, Schizostachyum, Thyrosostachys (ditanam).
 
 Buluh sering didapati hidup subur di dalam hutan lembap tropika khususnya di kawasan-kawasan berhampiran lembah sungai, di hutan-hutan sudah dibalak (tanah pamah dan di atas permatang), di dalam belukar (hutan peringkat kedua), di kawasan-kawasan hutan yang telah musnah dan terbiar akibat aktiviti pertanian pindah, pembukaan tanah untuk pertanian dan juga pembalakan.
 
 Di dalam hutan di Malaysia dan juga di negara-negara Tropika yang lain sering dijumpai buluh tumbuh menegak serta berumpun-rumpun seperti Gigantochloa spp., Dendrocalamus spp. dan Bambusa spp.
 
 Di negara kita taburan buluh biasanya boleh didapati daripada paras laut hingga 1000m tinggi. Ia boleh hidup dikebanyakan kawasan seperti di tebing-tebing sungai, tanah rata hingga ke lereng-lereng bukit. Kawasan yang tidak sesuai untuk penanaman buluh ialah di kawasan berpaya dan terendam dengan air (kawasan berlumpur).
 
 Buluh hidup subur di kawasan yang mempunyai saliran yang baik khususnya pada tanah pasir peroi (sand) sehingga ke tanah liat peroi. Di samping itu tanah berasid khususnya yang mempunyai keasidan pada tahap pH 5.0 - 6.5 adalah paling sesuai bagi tanaman buluh.
 
 Semasa pemilihan kawasan untuk penanaman buluh, selain daripada ciri-ciri di atas, faktor yang terpenting perlu diambil kira ialah sumber air untuk penyiraman. Air amatlah penting di peringkat awal selepas penanaman.
 
 Terdapat lebih kurang 12 spesis yang biasa digunakan untuk tujuan komersial. Lima (5) spesis ditanam dan hanya terdapat di sekitar kawasan kampung dan selebihnya hidup liar di tepi-tepi sungai, di kawasan hutan yang telah dibalak dan di sepanjang sungai. Di dapati tujuh (7) spesis buluh yang hidup liar boleh diambil rebungnya seperti di Jadual di bawah.
 

Nama Tempatan
Nama Saintifik
Penghasilan/Kegunaan
Buluh Beting
Gigantochloa levis
Rebung Dan Batang
Buluh Minyak
Bambusa vulgaris
Rebung Dan Batang
Buluh Tumpat
Gigantochloa ligulata
Rebung Dan Batang
Buluh Semantan
Gigantochloa scortechinii
Batang
Buluh Beti / Raga
Gigantochloa wrayi
Rebung Dan Batang
Buluh Semeliang
Schizostachyum grande
Batang
Buluh Dinding
Schizostachyum zollingeri
Batang

 Hanya dua (2) spesis buluh liar yang biasa diambil rebungnya dan mempunyai pasaran yang baik ialah Buluh Beting dan Buluh Tumpat. Terdapat juga beberapa spesis buluh yang ditanam mempunyai nilai komersial yang tinggi adalah seperti Jadual di bawah.

Nama Tempatan
Nama Saintifik
Penghasilan/Kegunaan
Buluh Duri
Bambusa blumeana
Rebung Dan Batang
Buluh Galah
Bambusa heterostachya
Batang
Buluh Betong
Dendrocalamus asper
Rebung Dan Batang
Buluh Lemang
Schizostachyum brachycladum
Rebung Dan Batang

Gambar Spesis Pokok Buluh

mvc-005s.jpg
Buluh Tumpat

mvc-014sa.jpg
Buluh Betong

mvc-009s1.jpg
Buluh Kuning

mvc-015s1.jpg
Buluh Beting

mvc-007sa.jpg
Buluh Galah